Hari Belia untuk Semua
Satu pembaharuan yang KBS akan bawa sempena dengan sambutan Hari Belia Negara (HBN) pada bulan Mei tahun ini adalah supaya lebih ramai lagi anak muda terlibat di setiap peringkat. Selain daripada acara kemuncak iaitu Festival Belia Putrajaya (FBP) yang akan diadakan pada 22-25 Mei, KBS akan 'mengakar umbikan' sambutan HBN sampai peringkat daerah untuk melibatkan lebih ramai belia, terutamanya mereka yang tidak berpeluang untuk datang ke Putrajaya.
Konsep yang kita amalkan pada tahun ini adalah 'Jom ke Putrajaya' dimana beberapa pertandingan akan dimulakan di peringkat daerah dan negeri, dan pemenangnya akan layak ke pertandingan akhir di Putrajaya. Contoh-contoh pertandingan yang sedang dianjurkan diperingkat akar umbi adalah pertandingan tilawah Al Quran, nasyid, pidato, kawad kreatif, kompang, futsal, sukan tradisional, gendang rakyat berbalas pantun dan dikir barat.
Dengan cara ini, belia di seluruh negara dapat mengambil bahagian dalam sambutan HBN melalui pelbagai program, samada sukan, rekreasi, atau keagamaan.
Setelah selesai sambutan di peringkat daerah, setiap negeri akan menganjurkan sambutan HBN sepertimana poster di bawah. Ini juga usaha KBS untuk membawa sambutan HBN kepada seramai mungkin anak muda di seluruh negara dan bukan hanya pengunjung ke FBP di Putrajaya.
Walaupun langkah untuk 'mengakar umbikan' HBN tahun ini telah menyebabkan peruntukan untuk sambutan FBP di Putrajaya dikurangkan, saya percaya langkah ini wajar demi penglibatan yang luas di setiap peringkat sehingga ke peringkat daerah.
Ini juga tidak bermakna FBP kurang hebat pada tahun ini. Pelbagai acara dan program telahpun disusun untuk menyaksikan Putrajaya sekali lagi muncul sebagai bandar mesra belia. FBP tahun ini akan mula dengan program Selawat Belia pada 22 Mei malam di pentas utama dan akan diisi dengan puluhan acara yang menepati citarasa belia.
Maklumat lanjut mengenai FBP ada di laman FB facebook.com/festivalbeliaputrajaya
Saya jemput semua anak muda untuk bersama menyambut HBN tahun ini dengan tema DARI BELIA UNTUK BELIA!
Search