[Jawapan Buat Saudara David Orok]
Salam Perdamaian Penulis hulurkan kerana itulah teras bagi agama Islam yang dibawa oleh Nabi terakhir, Nabi Muhammad S.A.W.
1-Seminggu dua ini masyarakat dikeruhkan dengan pelbagai isu yang jika tidak disantuni dengan sikap saling menghormati dan ketaatan dalam mengamalkan agama masing-masing pasti akan menambah perpecahan dan hilangnya semangat saling berkasih sayang yang menjadi teras bagi kedamaian semua agama.
2- Apatah lagi jika isu kesucian agama dan pokok keyakinan dalam beraqidah menjadi ejekan serta sendaan mereka yang tidak bertanggung jawab.
3- Islam yang berasal dari kata akarnya 'SALAM' membawa erti kedamaian serta keselamatan. Ia memberi satu isyarat bahawa Muslim
yang benar ialah Muslim yang darinya terserlah kedamaian serta keselamatan buat manusia sejagat.
4- Islam melarang umatnya mencerca keyakinan agama lain. Bahkan Islam menyatakan prinsip perhormatannya dalam beraqidah agama lain melalui ayat-ayat suci Al-Quran seperti :
لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ
" Bagi kamu agama kamu, bagi kami agama kami." ( Al-Kafirun : 6)
" وَلا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ كَذَلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ ثُمَّ إِلَى رَبِّهِمْ مَرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُمْ بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ (١٠٨)
"Dan janganlah kamu menghina sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, karena mereka nanti akan menghina Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami jadikan Setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. kemudian kepada Tuhan merekalah kembali mereka, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan." (Al-An'am:108)
Serta ayat-ayat lain yang mengajar setiap Muslim agar menghormati prinsip aqidah agama lain.
5- Membaca penulisan Saudara David Orok, menerusi link yang Penulis sertakan di bawah, Penulis beranggapan bahawa beliau tidak mengenali Islam dan kedamaian yang menjadi asas kepada penyebaran Dakwah Islamiah di dunia ini.
6- Tuduhan beliau terhadap status nasab Nabi Ismail bin Ibrahim dengan tuduhan sebagai 'Anak luar nikah' amat mengguris hati umat Islam terutama di negara ini.
7- Beliau mendatangkan hujah untuk
menyokong tuduhannya itu berdasarkan kefahaman beliau terhadap dalil-dalil dari Holy Bible.
8- Oleh kerana beliau turut menuduh ibadat korban umat Islam adalah sia-sia kerana Muslim yang melaksanakan ibadat korban tersebut tidak memahami konteks pengorbanan Ibrahim mengikut kepercayaan Yahudi, maka Penulis terpanggil untuk memberi jawapan di atas tuduhan beliau tersebut.
9- Penulis akan memberi jawapan mengikut susunan tuduhan beliau terhadap keyakinan Muslim serta kesucian nasab Nabi Ismail bin Ibrahim A.S.
TUDUHAN BELIAU
Tuduhan Pertama : Nabi Ismail adalah anak luar nikah Ibrahim dan Hajar.
Jawapan : Nabi Ismail adalah anak sah taraf Ibrahim kerana Bible telah menyatakan dengan jelas bahawa hajar ialah ISTERI Ibrahim. Ini berdasarkan kepada terjemahan Bible KJV yang menyatakan :
" And Sarai Abram's wife took Hagar her maid the Egyptian,after Abram had dwelt ten years in the land of Canaan, and gave her to her husband Abram to be his WIFE ".
(Gen:16:3)
Juga di dalam Bible The Gideons menyatakan :
" Then Sarai, Abram's wife, took
Hagar her maid, the Egyptian, and gave her to her husband Abram to be his WIFE, after Abram had dwelt ten years in the land of Canaan."
(Gen:16:3)
Juga di dalam Bible NRSV menyatakan :
"So, after Abram had lived ten years in the land of Canaan, Sarai, Abram's wife, took Hagar the Egyptian, her slave girl, and gave her to her husband Abram as a WIFE."
(Gen:16:3)
Di dalam Al-Kitab Al-Muqaddas, Bible Versi Arab menyatakan :
فاخذت ساراي امراءة ابرام هاجر المصرية جاريتها من بعد عشرسنين لاقامة ابرام في ارض كنعان واعطتها لابرام رجلها 'زوجة' له
( تكوين :١٦/٣)
Dan banyak lagi dalil yang menyatakan bahawa Hagar adalah ISTERI Ibrahim (bukan gundik) di dalam pelbagai versi Bible.
Penulis beranggapan, beliau menuduh Nabi Ismail A.S adalah anak luar nikah atau tidak sah taraf berdasarkan kenyataan dalam satu versi Bible iaitu versi Today's English Version (TEV) yang menyatakan bahawa Hajar bukanlah isteri ibrahim sebaliknya hanyalah 'GUNDIK' Ibrahim. Versi tersebut menyatakan :
" So she (Sarai) gave Hagar to him to be his concubine. (This happened after Abram had lived in Canaan for ten years).
(Gen:16:3)
Namun perlu diingat, TEV Version ini adalah Bible keluaran tahun 1976.
Manakala Versi-versi Bible yang mengakui bahawa Hajar adalah ISTERI Ibrahim adalah lebih baru. Perhatikan tahun keluaran bagi setiap versi yang dinyatakan di bawah :
1-KJV (King James Version) - Tahun 1979
2-The Gideons -Tahun 1983
3-NRSV (New Revised Standard Version) - Tahun 1989.
4-Bible versi Arab (الكتاب المقدس)- Tahun 2002
Dan kalau saudara tetap berpendirian bahawa Ismail anak luar nikah Ibrahim dengan beralasan tetap memegang dalil dari versi TEV yang menyatakan Hajar adalah GUNDIK Ibrahim, persoalannya ialah bagaimanakah dengan aqidah mereka yang memegang dalil bahawa Hagar ialah ISTERI Ibrahim seperti yang dinyatakan dalam versi KJV, NRSV, الكتاب المقدس dan lain-lain.
Tuduhan kedua : Bukan Ismail yang dikorbankan sebaliknya Ishak.
Jawapan : Bible telah menegaskan bahawa satu-satunya anak Ibrahim yang dikorbankan di pergunungan Moria ialah Ismail. Ini berdasarkan Kronologi kelahiran anak-anak Ibrahim berdasarkan dalil dari Bible seperti di bawah :
"Kemudian Hagar (Hajar) melahirkan seorang anak lelaki, lalu Abram (Ibrahim) bapa anak itu menamakan dia Ismail. Pada masa itu Abram berumur 86 tahun."
(Kejadian 16:15-16)
Dan bandingkan dengan ayat ini :
"Ibrahim berumur 100 tahun ketika Ishak dilahirkan."
(Kejadian 21 :5)
Melalui dua ayat ini jelas menunjukkan ISMAIL lebih dahulu dilahirkan dan menjadi anak tunggal Ibrahim selama 14 tahun sebelum mendapat adik lelaki yang bernama Ishak.
Sedangkan perintah Allah kepada Ibrahim agar mengorbankan anaknya yang tunggal telah disebut secara jelas di dalam ayat ini :
"Allah berfirman: “Pergilah ke tanah Moria dengan ISHAK, ANAKMU YANG TUNGGAL, yang sangat engkau kasihi. Di situ, di sebuah gunung yang akan Ku tunjukkan kepadamu, persembahkanlah anakmu sebagai korban untuk menyenangkan hati-Ku“.
(Kejadian 22:2)
Walaupun ayat di atas menyatakan ISHAK yang dikorbankan di tanah Moria, tetapi kita telah bersetuju berdasarkan dalil dari Bible bahawa SATU-SATUNYA ANAK TUNGGAL IBRAHIM YANG HIDUP SELAMA 14 TAHUN MENDAHULUI ISHAK IALAH ISMAIL.
Manakala kalimah Ishak di dalam ayat ini kami sebagai Muslim menyakini bahawa ia adalah kata tambahan yang dimasukkan oleh Ahli Kitab Yahudi di dalam Old Testament bagi memadamkan kesahihan Geneology Ismail yang darinya lahirlah 'Sayyidul Anbiya' iaitu Nabi Muhammad S.A.W.
Sekiranya saudara masih berhujah dengan menyatakan Ishak dianggap sebagai anak tunggal Ibrahim kerana Ismail hanyalah anak luar nikah Ibrahim, saudara telah melakukan dua kesalahan:
Pertama : Menuduh Ibrahim, yang merupakan Nabi agung bagi tiga agama terbesar di dunia sebagai penzina.
Kedua : Menyalahi dalil-dalil dari Bible yang secara jelas menyatakan bahawa Hagar bukanlah Gundik Ibrahim sebaliknya dia adalah ISTERI yang sah.
Tuduhan Ketiga : Al-Quran mengakui bahawa pengorbanan Ishak adalah bukti pembenaran Yesus akan disalib untuk menebus dosa manusia yang diwarisi dari adam.
Jawapan : Idea Dosa Warisan tidak ada kena mengena dengan keyakinan Muslim. Setiap dosa tidak boleh diwariskan bahkan Al-Quran telah menegaskan prinsip ini dengan firmanNya :
"Barangsiapa yang berbuat sesuai dengan hidayah Allah, maka sesungguhnya dia berbuat kebaikan itu untuk (keselamatan) dirinya sendiri dan barangsiapa yang sesat maka kesesatannya itu adalah untuk (kerugiannya) sendiri. Dan setiap orang yang berdosa (dengan dosanya) tidak pula dapat menanggung dosa orang lain dan kami tidak akan menimpakan azab sebelum kami mengutuskan rasul (kepada manusia).
(Surah Al-Isra 17:15)
Bahkan Bible membenarkan Al-Quran dengan katanya :
"Tetapi sesiapa yang makan anggur yang masam, dia sendirilah yang akan merasa masamnya. Setiap orang akan mati kerana dosanya sendiri."
(Yeremia 31:30)
"Orang yang berdosa akan mati. Seorang anak tidak menanggung akibat daripada dosa bapanya. Demikian juga seorang bapa tidak menanggung akibat daripada dosa anaknya. Seorang yang baik akan menerima ganjaran kerana kebaikannya, dan seorang yang jahat akan menanggung akibat daripada kejahatannya."
(Yeheizkel 18:20)
Perhatikan juga di dalam Matius 16:27:
"Anak Manusia sudah hampir tiba bersama–sama para Malaikat-Nya dengan kemuliaan Bapa-Nya. Pada masa itu Dia membalas tiap – tiap orang menurut perbuatannya sendiri."
Juga di dalam Roma 2:5-6 juga menyatakan:
"Kamu degil dan keras kepala. Oleh itu, kamu sendiri yang menjadikan hukuman kamu semakin berat pada hari Kiamat apabila Allah menyatakan kemurkaan-Nya dan menjatuhkan hukuman yang adil. Hal yang demikian itu adalah kerana Allah akan membalas setiap orang, setimpal dengan perbuatannya sendiri."
Sebab itulah kami menyatakan bahawa idea dosa warisan ini tidak ada kaitan sama sekali dengan Islam serta pengorbanan yang dilakukan oleh Ibrahim hanyalah penzahiran sifat ubudiyyahnya terhadap Allah SWT.
Sebenarnya, masih banyak yang hendak Penulis nyatakan sebagai perkongsian bersama namun memadailah penulisan ini sebagai muqaddimah jawapan buat saudara.
Penulis tidak mengharapkan saudara meyakini Islam atau Al-Quran kerana tiada paksaan dalam beragama tetapi memadailah saudara yakin dan beriman terhadap apa yang disebut oleh kitab saudara sendiri.
Semoga saling bertimbang rasa dan berlapang dada membawa lebih keharmonian bersama.
Nukilan asal:
YH Dato Rashidy Jamil Al-Rashid,
Kuala Lumpur.
同時也有10000部Youtube影片,追蹤數超過2,910的網紅コバにゃんチャンネル,也在其Youtube影片中提到,...
nikah surah in quran 在 Firdaus Wong Wai Hung Facebook 的最佳解答
[Relevankah Poligami?]
Poligami bermaksud berkahwin lebih daripada seorang dalam satu masa. Ia terbahagi kepada dua iaitu poligini dan juga poliandri. Poligini dapat didefinisikan seorang suami berkahwin lebih daripada seorang isteri di dalam suatu masa. Manakala poliandri adalah seorang isteri berkahwin lebih daripada seorang suami dalam suatu masa. Poliandri ditegah sama sekali di dalam Islam.
Al Quran Tidak Memperkenalkan Poligami
Antara perkara yang perlu diakui adalah, orang lelaki fitrah diri mereka adalah berpoligami manakala perempuan pula sifatnya monogami. Tanyalah mana-mana lelaki sekalipun nescaya mereka pernah terfikir untuk berpoligami dan lelaki boleh menyayangi serta membahagikan nafkahnya kepada beberapa orang wanita di dalam satu masa.
Berlainan pula dengan wanita, sifatnya apabila berkahwin mudah untuk setia kepada satu pasangan sahaja.
Situasi masyarakat berpoligami ini dapat dilihat di dalam sejarah ketamadunan manusia sejak dari dahulu lagi, hatta sebelum datangnya nabi Muhammad SAW.
Malah, semua kitab suci agama sebelum turunnya al Quran sudah berbicara soal poligami kecuali di kitab agama Buddha. Walaupun begitu di dalam kitab Tripitaka tidak memiliki ayat jelas mengenai larangan poligami.
Disamping itu terdapat catatan yang menyebut bahawa Siddharta Gautama Buddha juga pada awalnya berpoligami. Mengikut catatan sejarah China mengatakan dia memiliki tiga isteri iaitu Yashodhara, Gotami dan Manohara. Manakala mengikut cacatan lain menyebut Buddha memiliki empat isteri iaitu Yashodhara, Mrijaga atau Gopa, Utpalavarna, dan Gotami.[1]
Jika dilihat di dalam Bible pula, ada ayat yang menceritakan soal poligami para nabi terdahulu, dalam Perjanjian Lama menceritakan Abraham memiliki 3 orang isteri (selain Sarah dan Hagar beliau berkahwin dengan Keturah, Kejadian 25:1), Raja Solomon memiliki 700 orang isteri dan 300 gundik (1 Raja-Raja 11:3)
Di dalam Kejadian bab 29: ayat 22-23, ayat 30, bab 30 ayat 4 dan ayat 9 Yakub berkahwin seramai empat orang isteri. Manakala Daud pula dikatakan berpoligami seramai lapan orang isteri berdasarkan 1 Tawarikh 3: 1-9 dan Samuel 18: 27.
Begitu juga dengan kitab agama Hindu juga terdapat kisah dewa mereka berkahwin ramai seperti Krishna sendiri dikatakan memiliki 16 108 orang isteri. Bapa kepada dewa Rama iaitu raja Dashratha juga berpoligami dan disebut di dalam kitab Ramayana dia memiliki isteri yang bernama Kausalya, Kaikeyi, dan Sumitra.
Di dalam agama Hindu juga membenarkan poligami seperti dalam kitab Baudhayana Dharmasastra, Apastambha Smerti, Yajnavalkya Smerti, Vishnu Smerti, Slokantara, Silakrama, Vrati Sasana, Srimad Bhagavantam, Bhagavanta Purana, Anussana Parwa, Bhavisya Purana, hingga Kamasutra Vatsyayana.
Dalam buku Evolution of Marriage: And of The Family ada menceritakan bagaimana bentuk setiap agama dan tamadun menganjurkan pernikahan. Hakikatnya jelas bahawa sebelum datangnya al Quran, masyarakat dunia sudah mengamalkan hidup dengan berpoligami terutama orang-orang ternama seperti raja dan ketua kabilah.
Di Rom, Parsi, Madian, Firauan di Mesir, dan di mana-mana empayar sekalipun sudah direkodkan bahawa berlakunya poligami di dalam masyarakatnya malah pernikahan mereka itu tidak teratur dan tidak memiliki had untuk jumlah isteri mereka. Orang lelaki pada ketika dahulu boleh berkahwin sebanyak mungkin wanita-wanita mereka malah mereka tidak ada garis panduan untuk membangunkan hak keadilan kepada wanita.
Sesungguhnya apabila diturunkan Al Quran kepada nabi Muhammad, ia bukanlah kitab yang memperkenalkan poligami kerana jauh sebelum itu manusia telah mengamalkan poligami. Akan tetapi di dalam al Quran, Allah menyebut supaya lelaki memilih monogami malah menghadkan kepada lelaki supaya tidak boleh melebihi empat orang isteri sepertimana disebut di dalam surah an Nisa ayat 3 yang bermaksud:
“Nikahilah wanita-wanita (lain) yang kalian senangi masing-masing dua, tiga, atau empat kemudian jika kalian takut tidak akan dapat berlaku adil, kahwinilah seorang saja.”
Ayat ini فَإِنْ خِفْتُمْ أَلاَّ تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً menekankan akan soal keadilan dan menyarankan supaya lelaki berkahwin seorang sahaja. Al Quran bukanlah kitab yang memperkenalkan poligami tetapi ia adalah kitab yang menghadkan dan mengawal poligami.
Tidak ada dalam mana-mana kitab agama di dunia ini bicara soal berkahwin seorang wanita. Al Quranlah kitab yang pertama menghadkan poligami kepada lelaki. Sekiranya terdapat golongan orientalis yang gemar menuduh Islam agama yang memperkenalkan poligami maka terbuktilah mereka orang yang buta sejarah!
Contoh, jika dikatakan ayat di dalam surah an Nisa ayat 3 ini tidak diturunkan. Kita semua boleh bayangkan apa yang akan berlaku kepada institusi perkahwinan yang masih mengamalkan poligami seperti dahulu iaitu apabila lelaki sewenang-wenangnya boleh memiliki 20 orang isteri, 50 atau 100 orang sekali gus. Kerana tidak ada had yang menghalang mereka untuk berkahwin lebih. Akan tetapi pada hari ini, situasi ini berubah apabila al Quran satu-satunya kitab datang mengawal institusi perkahwinan poligami ini. Ayat ini seakan berada di pertengahan di antara dua isu, iaitu mengawal diantara kemelampauan dalam berpoligami dan juga golongan yang menentang poligami.
Ikut Barat Lebih Baik?
Di barat seperti Amerika Utara, Amerika Selatan, Eropah, dan negara-negara lain seperti Australia, mereka mengharamkan poligami. Malah menjadi kesalahan apabila seorang lelaki itu berpoligami. Menurut mereka poligami itu simbol kerakusan nafsu seorang lelaki dan penghinaan kepada perempuan. Akan tetapi, perempuan simpanan atau hubungan seks dengan perempuan lain tanpa perkahwinan bukan satu penghinaan atau kerakusan nafsu bagi mereka.
Muthakhir ini ramai golongan feminisme memperjuangkan hak wanita dengan beranggapan poligami ini sudah tidak relevan. Malah mengikut mereka acuan barat itu lebih menepati kehendak institusi kekeluargaan semasa.
Sekiranya kita berbicara soal ini dengan mengetepikan hukum agama. Sebenarnya cara barat sangat menguntungkan pihak lelaki. Mana tidaknya sekiranya seorang lelaki dibenarkan hanya berkahwin seorang sahaja dan dibenarkan untuk memiliki perempuan simpanan dan boleh berpoya-poya dengan wanita lain sehingga mengandung dan lebih menarik lagi dia tidak perlu bertanggunjawab pun ke atas wanita tersebut. Sekiranya wanita simpanan itu mengandung, si lelaki tidak ada apa-apa hak ke atasnya dan undang-undang tidak akan melindungi hak wanita tersebut.
Malah sekiranya wanita itu mengajak lelaki itu berkahwin sekalipun dengan membawa bukti DNA anak itu adalah anak dari lelaki tersebut, lelaki itu memiliki alasan yang kukuh untuk menolak dengan alasan dia sudah memiliki isteri dan undang-undang mengharamkan dia untuk berpoligami. Dan sekiranya dia berpoligami maka boleh dikenakan tindakan yang berat.
Oleh itu pihak lelaki boleh memanafaatkan ruang ini untuk terus berpoya-poya dengan puluhan perempuan simpanan di luar sana.
Malah angka kes anak luar nikah begitu besar di barat. Anak-anak yang dilahirkan oleh perempuan simpanan tidak mendapat hak selayaknya. Malah jika ditanya kepada perempuan simpanan ini semua, mereka majoritnya bersedia untuk menjadi isteri kedua asalkan pihak lelaki boleh bertanggunjawab ke atasnya.
Sesungguhnya cara barat ini menguntungkan lelaki manakala cara Islam pula menguntungkan wanita. Ini kerana Islam datang mengisi tuntutan fitrah lelaki dengan mengizinkan mereka berpoligami disamping memberi garis panduan yang sangat ketat bagi seorang lelaki yang mahu berpoligami. Islam menegaskan supaya mereka perlu berlaku adil, memberi nafkah, memberi giliran, dan memberi pembahagian faraid (harta) kepada mereka. Ini kerana, poligami dalam Islam adalah mengambil amanah untuk memikul tanggunjawab terhadap isteri-isteri.
Kenapa Wanita Tidak Benarkan Poliandri?
Ramai juga yang mempersoalkan mengapa wanita tidak boleh berpoliandri (memiliki suami ramai pada satu masa) seperti lelaki. Banyak hikmah disebalik larangan ini di dalam Islam.
Pertama, jika dilihat seorang lelaki memiliki empat isteri, mereka akan tahu untuk ber-bin-kannya kepada nama ayahnya. Akan tetapi sekiranya seorang isteri memiliki empat suami, macam mana mereka mahu ‘bin’kan anaknya itu kelak? Adakah dengan menyenaraikan kesemua nama suami-suaminya? Sebagai contoh Anis bin suami A, suami B, suami C, suami D.
Mungkin ada yang akan mengatakan, dia boleh di ‘bin’kan dengan nama ibunya sahaja. Persoalanya, tamadun manakah yang menggunakan nama ibu sebagai nama keluarga (ber bin kan) kepada anaknya?[2]
Kedua, seorang lelaki yang memiliki empat isteri tetap boleh melakukan kerja dan tugas sebagai seorang suami kepada keempat isterinya. Cuba ditukar, seorang isteri memiliki empat suami melakukan kerja dan tugas sebagai seorang isteri kepada empat atau lima orang anak-anaknya bagi satu keluarga. Dan dia memiliki empat keluarga. Adakah di sempat melakukan kerja dan tugas sebagai seorang isteri kepada empat keluarga yang berbeza-beza?
Ketiga, mengikut kajian, seorang lelaki yang memiliki empat isteri dan mereka tidak melakukan hubungan luar selain daripada itu, didapati dia sihat dan tidak mendapat penyakit kelamin. Manakala jika seorang isteri yang sering bertukar-tukar pasangan (suami ramai) mudah mendapat penyakit kelamin seperti Chlamydia Trachomatis dan Gonnorrhea dan akan berjangkit kepada pasangannya.
Keempat, Sekiranya seorang lelaki memiliki empat isteri dia boleh mengilir isterinya setiap masa kerana orang lelaki tidak didatangi haid. Sekiranya isteri pertamanya haid maka dia boleh memilih isteri-isteri yang lain. Manakala sekiranya seorang isteri yang memiliki empat suami, dan dia didatangi haid, macam mana dengan situasi keempat-empat suaminya itu?
Kelima, seorang suami berkahwin empat, dia menginginkan lima orang anak bagi setiap isterinya. InsyaAllah dia akan dapat melakukan untuk itu. Manakala jika seorang wanita memiliki empat suami dan masing-masing suaminya mahukan lima orang anak. Bagaimana dengan situasinya? Si isteri mengauli suaminya dan mengandung sembilan bulan dan buat ujian DNA maka dia melahirkan seorang bagi anak suami A. Habis pantang dan seterusnya mengandung pula sembilan bulan dan lakukan ujian DNA, dia melahirkan anak bagi suami C. Habis pantang, mengandung pula sembilan bulan dan ujian DNA dia melahirkan anak kedua bagi suami C. Dan begitulah seterusnya.
Soalnya, bagaimana situasi dan kondisi perempuan ini? Hidup wanita yang poliandri ini akan musnah disebabkan tekanan dan stress.
Keenam, sekiranya wanita dan lelaki masing-masing boleh berpoligami, bagaimana dengan kedudukan dan institusi nasab dan keturunan. Boleh diperhatikan kepada gambar di poster di atas bagaimana carta keadaan sekiranya lelaki dan perempuan mengamalkan poligami di dalam sesebuah institusi masyarakat.
Rujukan rajah: (L = lelaki, P = perempuan, --- = kahwin)
Malah kita sudah memiliki rekod dari pengamal poliandri dari sebahagian masyarakat Tibet dan juga puak-puak yang mendiami Himalaya seperti puak Sherpa, Bhutia dan Lepcha yang kebanyakannya mengamalkan poliandri pada suatu ketika dahulu. Akan tetapi pada hari ini amalan ini mula menukar corak hidup mereka dan meninggalkan amalan poliandri yang pernah menjadi budaya dan cara hidup puak-puak tersebut.
Hujah ini menunjukkan bahawa poliandri ini tidak praktikal kepada wanita. Malah ia boleh menyebabkan rosaknya hubungan nasab dan menyanggahi fitrah mereka sendiri.
Islam Dan Poligami
Islam adalah agama yang menuntun fitrah manusia. Islam juga mempertahankan maruah dan mengangkat nilai seseorang wanita. Cuba tanyalah apa sekalipun kepada wanita yang membenarkan poligami mengenai syarat yang dia akan tentukan kepada si suami supaya berlaku adil kepadanya. Nescaya syarat-syarat yang dikemukakan itu tidak akan bercanggah dengan syarat yang Islam tetapkan. Islam menggariskan agar berlaku adil kepada isteri-isteri mereka iaitu memberi hak kepada yang berhak, memberi nafkah, membahagikan masa, harta, kasih sayang, giliran dan sebagainya.
Adapun al Quran juga telah mengkhabarkan mengenai seorang suami tidak boleh berlaku adil kepada isteri-isterinya, firman Allah yang bermaksud:
“Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awan-awan); dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah an Nisa: 129)
Ayat ini dilihat seakan bercanggah dengan ayat 3 yang menyebut “sekiranya kamu bimbang tidak dapat berlaku adil maka kahwinlah satu”.
Sebenarnya ayat ini berbincang konsep adil dari dua sudut yang berbeza. Dalam surah an Nisa ayat 3 Allah sedang berbicara di dalam soal keadilan sudut nafkah zahir, iaitu harta dan juga kemampuan. Manakala di dalam ayat ke 129 pula Allah berbicara dari sudut perasaan yang mana manusia tidak dapat berlaku adil dari sudut perasaan sayangnya kepada isteri.
Malah perkara ini normal. Begitu juga ibubapa yang memiliki tujuh orang anak, nescaya perasaan sayangnya kepada anak-anak itu berbeza-beza. Dan akan ada salah seorang darinya dianggap anak emas yang mereka sayangi. Perasaan sayang terhadap anak kita pun ada berbeza-beza. Begitu juga perasaan sayang kepada isteri-isteri. Itu adalah lumrah manusia.
Poligami juga membuka banyak ruang penyelesaian di antara hubungan suami dan isteri. Sebagai contoh, kita sedia maklum bahawa wanita dan lelaki terdedah kepada sakit dan ketidakmampuan dalam hubungan kelamin. Jika suami tidak mampu dari segi seks, si isteri boleh menuntut dipisahkan perkahwinan mereka. Akan tetapi sekiranya si isteri tidak bermampuan dari segi seks, amat tidak wajar wanita yang lemah dan sakit ditinggalkan begitu. Namun, dalam masa yang sama naluri suami juga hendaklah diraikan. Poligami cara Islam dapat menyelesaikan masalah ini.
Begitu juga jika si isteri mandul, apakah patut suami menceraikannya? Poligami sebagai penyelesaian keinginan kepada zuriat keturunan. Di dalam dua keadaan ini, poligami adalah penyelesaian yang terbaik. Disamping itu, dalam Islam menetapkan syarat yang agak berat kepada lelaki yang mahu berpoligami dan mereka harus mengikut apa yang telah diperintahkan oleh Allah.
Apa yang paling utama adalah dengan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan. Sekiranya lelaki itu mengikuti apa yang digariskan oleh al Quran dan Sunnah nescaya isteri-isteri mereka akan merasai keadilan yang diaturkan oleh Allah. Akan tetapi sekiranya tidak maka ia boleh merosakkan institusi kekeluargaan itu sendiri.
Kehancuran institusi kekeluargaan itu bukanlah disebabkan acuan yang Allah dan rasul tetapkan. Tetapi disebabkan sikap manusia yang merosakkannya dengan melanggar apa yang Allah dan rasul tetapkan. Analoginya adalah sebuah kereta Ferrari yang mewah dan bagus dipandu oleh pemandu yang tidak berhemah dan berlaku kemalangan. Yang bermasalah bukan kereta itu tetapi pemandu tersebut yang tidak mengikut aturan yang ditetapkan.
Ada juga yang timbulkan alasan bahawa poligami ini tidak bagus kerana dalam media massa sering tonjolkan bahawa poligami ini bermasalah. Satu perkara yang perlu diperbetulkan minda kita apabila berhadapan dengan media adalah, kebanyakkan media akan melaporkan sesuatu masalah yang jarang berlaku dan kemalangan yang tidak baik. Contohnya media akan memaparkan kes-kes penceraian antara suami isteri.
Pertama, Ini kerana kes bercerai jarang berlaku dan kedua media hanya menfokus kepada masalah. Mana mungkin media akan melaporkan “pada hari ini 1 juta pasangan di Malaysia masih kekal dalam perhubungan kekeluargaan” atau berita “pada hari ini 30 000 pesawat di seluruh dunia sampai ke destinasi yang dituju” berbanding dengan laporan pernceraian atau laporan mengenai pesawat yang terkandas atau berbahas.
Oleh itu, hakikatnya golongan yang berpoligami ramai yang tidak bermasalah berbanding dengan yang bermasalah. Demikian itu golongan yang berpoligami juga perlu mempromosi kelebihan dan kebaikkan kehidupan mereka dalam berpoligami agar dapat meneutralkan serangan media terhadap poligami dalam Islam.
Poligami Kerana Nafsu?
Adapun sebahagian orang kita selalu menyebut Nabi Muhammad pada hayatnya berpoligami dengan janda-janda tua. Janda yang kematian suami ketika berjihad dan baginda kahwin bukan kerana nafsu. Tidak sama dengan orang lelaki yang berpoligami sekarang kerana nafsu.
Pertama, walaupun benar nabi berkahwin dengan kesemua janda kecuali Aisyah, tetapi di dalam riwayat menceritakan majoriti isteri baginda masih muda kecuali Ummu Salamah dan Saudah sahaja. Dan tidak salah untuk berpoligami dengan anak dara, malah ada hadis nabi menyebut yang bermaksud:
“Hendaklah kamu mengahwini anak dara. Ini kerana mereka lebih baik perkataannya, lebih subur rahimnya dan lebih redha dengan yang sedikit”. (Ibn Majah, dinilai hasan dalam al-Silsilah al-Sahihah no 1520)
Orang mempersoalkan, lelaki sekarang ini poligami kerana nafsu. Jawapanya, ya, kerana lelaki dan perempuan masing-masing memiliki nafsu. Harus adakah cara untuk membuang nafsu? Dan adakah berpoligami itu suatu kesalahan? Sekiranya tidak salah mengapa harus ia dipandang serong? Adakah masyarakat kita lebih meredhai hubungan luar nikah seperti barat membenarkan perempuan simpanan berbanding seorang lelaki berpoligami?
Yang penting adalah macam mana mahu menguruskan nafsu mengikut aturan al Quran dan Sunnah. Ini kerana manusia tidak dapat membuang nafsunya selagimana dia masih hidup.
Kesimpulan
Al Quran bukanlah kitab pertama yang memperkenalkan poligami. Al Quran datang dengan menetapkan had dan juga menegaskan supaya lelaki memikirkan soal keadilan terlebih dahulu. Adapun golongan yang menuduh poligami sudah tidak relevan dan menindas wanita, hakikatnya pengharaman poligami seperti di Barat yang jelas menindas wanita. Malah, antara hikmah Allah hanya membenarkan lelaki sahaja berpoligami adalah disebabkan fitrah lelaki sudah dicipta sedemikian.
Nota Kaki:
[1] Lihat E. A Wallis Budge, (1923). Baralam and Yewasef: Being The Ethiopic Version of A Christianized Recention of The Buddhist Legend of The Buddha and The Boddhisattva, Cambridge Universiti Press, USA, hlm xlv / Lihat Amamath Thakur, (1996). Buddha And Buddhist Synods In India And Abroad, abhinav publications, New Delhi, hlm 24
[2] Kecuali Isa Ibni Maryam
R&D Team MRM